My official website

Monday, March 19, 2012

Hebahan : Program Persediaan ke IPT | 23-26 Mac 2012


Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh

Program Persediaan Ke IPT 2012 anjuran Biro Perkhidmatan Pendidikan Majlis Islam Sarawak (BPP-MIS) akan berlangsung pada tarikh dan masa berikut:

Tarikh : 23 hingga 26 Mac 2012
30 Rabiulakhir hingga 3 Jamadilawal 1433H

Tempat : Kompleks Biro Wanita, Jalan Sultan Tengah, Kuching
Masa Pendaftaran : 2.30 petang, 23 Mac

Program ini terbuka kepada pelajar-pelajar lepasan SPM/STPM 2011 dan keutamaan diberikan kepada pelajar-pelajar yang pernah menyertai program-program anjuran BPP-MIS.

Antara pengisian menarik untuk kali ini ialah :

1. Memahami ma'na Ilmu dan kepentingannya yang akan disampaikan oleh YBhg Dr. Mohd Farid Mohd Sahran (IKIM)

2. Kewajipan Mencintai Rasulullah sallahu 'alayhi wa alihi wassalam yang akan disampaikan oleh Al Fadhil Ustaz Muhammad Sufi Bin Ibrahim (Kolej Islam As Sofa)

3. Taklimat Bantuan kewangan/pinjaman pendidikan/biasiswa daripada Tabung BaitulMal Sarawak, Yayasan Sarawak dan PTPTN

4. Peluang kedua ke UiTM melalui program Destini Anak Bangsa

5. Memantapkan jati diri belia Islam melalui pengukuhan budaya ilmu dan kerohaniaan

6. Membongkar rahsia kejayaan dan kehebatan para ilmuwan dan ulama Islam terulung

7. Perolehan maklumat ke mana selepas SPM/STPM dan pilihan bidang yang sesuai.

Memandangkan program ini hanya menerima 100 orang penyertaan, anda dinasihatkan untuk mendaftar lebih awal ! Taip nama No Kad Pengenalan Nama Sekolah dan hantar ke 019 8212606 (Shamsiah). Sekiranya anda mempunyai pertanyaan boleh menghubungi nombor tersebut.

Selamat Maju Jaya!

Thursday, January 19, 2012

Sunday, January 15, 2012

Seminar Memperingati Ketokohan Sayyidah Khadijah Al Kubro : Laporan Penuh

Pertama dan selamanya, marilah kita sama-sama merafa’kan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana atas izinNYA jualah Seminar Memperingati Ketokohan Sayyidah Khadijah Al Kubra radiallahu ‘anha wa ardha ha telah disempurnakan dengan jayanya. Selawat dan salam buat kekasih junjungan Rasulullah sallahu alaihi wassalam, para keluarga dan sahabat baginda sallahu ‘alayhi wassalam, mudah-mudahan kita dihimpunkan bersama-sama dengan baginda sallahu ‘alayhi wassalam di yaumul akhirat.



Seminar ini telah dilaksanakan pada 7 dan 8 Mei 2011 bersamaan dengan 3 dan 4 JamadilAkhir 1432H bertempat di Pusat Pembangunan Pendidikan Yayasan Sarawak, Jalan Sultan Tengah, Kuching. Penyertaan Seminar yang julung kali di adakan di Sarawak khususnya dan di Malaysia amnya sangat menggalakkan. Seminar ini berjaya menghimpunkan 500 orang peserta yang datang daripada seluruh bahagian Negeri Sarawak, Kuala Lumpur dan Singapura. Mereka terdiri daripada pelbagai lapisan usia, berkhidmat di Jabatan Kerajaan mahupun swasta, Ahli perniagaan, Ahli-ahli NGO mahupun pelajar-pelajar IPT.


Seminar ini juga telah mencatatkan sejarah buat pertama kalinya Biro Perkhidmatan Pendidikan Majlis Islam Sarawak [BPP-MIS] sebagai penganjur utama bersama dengan Badan-Badan NGO Islam khususnya Bahagian Wanita dengan sokongan Agensi Kerajaan Negeri. Di antara Badan-Badan NGO Islam yang terlibat termasuklah Persatuan Kebajikan Islam Sarawak [PERKIM], HELWA Harakah Islamiah [HIKMAH], HELWA Angkatan Belia Islam Malaysia [ABIM] Negeri Sarawak dan Perkumpulan Wanita Majlis Islam Sarawak [HUMAIRA]


Objektif utama Seminar ini adalah sebagai salah satu usaha yang berterusan untuk mengenali, mencintai dan meneladani tokoh wanita Islam yang hebat seperti mana yang disebutkan di dalam Hadis Rasulullah sallahu ‘alayhi wassalam yang bermaksud;

“ Ada empat wanita yang paling mulia dan penghulu segala wanita,mereka adalah Asiah Binti Muhazim, Maryam Binti Imran, Khadijah Binti Khuwailid dan Fatimah Binti Muhammad”

(Hadis Riwayat Bukhari)


Dalam menjalani kehidupan sebagai seorang wanita, kita memerlukan contoh tauladan yang dapat dijadikan panduan dalam segala aspek kehidupan. Satu-satunya jalan yang menjamin kejayaan hidup di dunia dan akhirat adalah dengan menjadikan Rasulullah sallahu ‘alayhi wassalam sebagai sumber ikutan dan tauladan.


Firman Allah SWT di dalam Surah Ali Imran ayat 31 yang berbunyi;

Katakanlah [Wahai Muhammad]; “Jika engkau mengasihi Allah, maka ikutilah daku, nescaya Allah akan mengasihimu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan [ingatlah], Allah Maha Pengampun Lagi Maha Pengasihani”


Golongan wanita merupakan golongan yang paling hampir dengan Rasulullah sallahu ‘alayhi wassalam. Disebabkan kerana Rasulullah sallahu ‘alayhi wassalam, martabat dan kedudukan wanita menjadi mulia.

Seminar ini telah menampilkan lima pembentang kertas kerja dengan tajuk-tajuk pembentangan yang cukup relevan dan mampu dimanfaatkan oleh para peserta. Kertas Kerja pertama seminar ini telah menampilkan YBhg Ustazah Datin Hajah Aminah Bt Hj Zakaria, Yang Dipertua Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia (SALIMAH) yang membentangkan satu tajuk Keperluan Menggali Khazanah Tokoh-tokoh Islam : Sayyidah Khadijah Al Kubro wanita ikutan sepanjang zaman.


Di dalam pembentangan pertama ini, penceramah telah memulakan bicara dengan membaca hadis Rasulullah sallahu a’layhi wassalam yang bermaksud;

“Sesungguhnya seseorang itu akan dihimpunkan bersama-sama dengan orang yang dikasihinya”


Sekiranya kita mengasihi dan mencintai Sayyidah Khadijah radiallahu anha wa ardha ha maka kita akan dihimpunkan bersama-sama dengan beliau dan sudah pasti dihimpunkan bersama-sama dengan Rasulullah sallahu a’layhi wassalam dan orang-orang yang mencintai baginda sallahu a’alayhi wassalam.


Penceramah telah membawa khalayak untuk mengenali siapakah Sayyidah Khadijah Al Kubro. Adalah sangat penting untuk kita mengenali beliau agar selepas itu akan timbul bibit kecintaan kepada wanita yang sangat dikasihi oleh Rasulullah sallahu a’layhi wassalam. Apabila telah timbul kecintaan kepada Sayyidah Khadijah maka kita akan mencontohi wanita penghuni syurga ini.


Penceramah juga telah berkongsi dengan khalayak tentang kedudukan Sayyidah Khadijah Al Kubro yang sangat mulia di sisi Allah SWT sehingga terakam peristiwa Allah SWT menyampaikan ‘salam’ kepada Sayyidah Khadijah Al Kubro melalui perantaraan Malaikat Jibril alaihisallam.


Kertas Kerja kedua dengan tajuk Sayyidah Khadijah Al Kubro di hati Rasulullah sallahu a'layhi wassalam telah disampaikan dengan cukup terkesan oleh Yang Mulia Al Habib Ali Zeinal Abidin Al Hamid daripada Majlis Ta’lim Darul Murtadza Kuala Lumpur.


Tak sesiapapun yang mampu menjwab soalan ini kecuali tuan empunya hati, yaitu Rasulullah sallahu a'layhi wassalam, tetapi apa di ketengahkan oleh penceramah adalah sedikit dari suara hati baginda Rasulullah s.a.w ketika mengungkapkan akan kedudukannya di hati baginda Rasulullah sallahu a'layhi wassalam


Siti Aisyah r.a berkata: Rasulullah sallahu a'layhi wassalam hampir setiap kali keluar rumah menyebut nama khadijah dan memujinya. Pada suatu hari aku dengan perasaan cemburu aku berkata: “Dia itu ( khadijah) tidak lebih hanya seorang wanita tua, dan Allah telah menggantikan untukmu yang lebih baik darinya”, maka baginda Rasulullah s.a.w marah seraya bersabda: Demi Allah! Allah tidak menggantikan untukku yang lebih baik darinya, Khadijah beriman kepadaku ketika orang-orang ingkar, dia membenarkan aku ketika orang-orang mendustakan dan dia menolongku dengan hartanya ketika orang-orang tidak memberiku apa-apa, dan Allah memberikan untukku zuriat darinya yang tidak ada pada yang lain.

(Riwayat Ahmad dan Thabrani)


Dari Aisyah r.a ia berkata: Aku tak pernah cemburu terhadap isteri-isteri Rasulullah sallahu a'layhi wassalam sepertimana kecemburuanku kepada khadijah, walaupun aku tak berjumpa dengannya. Lalu ia berkata: Dan adalah Rasulullah sallahu a'layhi wassalam terkadang menyembelih kambing lalu bersabda: Hantarkan daging kambing ini kepada sahabat-sahabat Khadijah r.a.


Hari pertama seminar dilengkapkan dengan pembentangan kertas kerja ketiga daripada YBhg Ustazah Halimah Alaydrus merupakan anak murid kepada ulama Hadramaut, Yaman iaitu Habib Umar Al Hafiz iaitu pengasas Darul Mustafa dan merupakan keturunan Rasulullah sallahu a’alaihi wassalam, pendakwah bebas dan penulis buku Best Seller Bidadari Bumi. Beliau telah membentangkan kertas kerja Sayyidah Khadijah Al Kubro: Tauladan Isteri dan Ibu Mithali.


Penceramah ini telah menggali dengan penuh teliti peranan Sayyidah Khadijah Al Kubro sebagai seorang isteri, bagaimana teknik Sayyidah Khadijah Al Kubro dalam menenangkan hati baginda Rasulullah sallahu a'layhi wassalam setelah menerima wahyu melalui perantaraan Malaikat Jibril a.s, pengorbanan seluruh harta dan kekayaan demi membantu baginda Rasulullah sallahu a'layhi wassalam menyebarkan Islam. Kalau tidak kerana harta yang dimiliki oleh Sayyidah Khadijah r.a barangkali kita tidak dapat merasakan ni’mat Islam di alam Melayu.

Begitu juga peranan beliau sebagai seorang ibu. Sayyidah Khadijah r.a satu-satunya isteri yang melahirkan zuriat Rasulullah sallahu a'alayhi wassalam. Di madrasah didikan Sayyidah Khadijah lah lahir insan-insan pejuang agama yang hebat, lahir wanita sehebat Saidatina Fatimah r.a. Mengapa kita sukar untuk mencontohi beliau dalam mencorak didik anak-anak kita di zaman sekarang?


Hari kedua seminar telah menampilkan YBhg Ustazah Asni Mansor Al Hafizah, Pengarah Urusan di Misytaq Training & Motivation. Beliau telah mengupas satu topik Sayyidah Khadijah Al-Kubro : Peranan dan Sumbangan Beliau dalam dakwah Rasulullah sallahu a'layhi wassalam.


Penceramah terakhir iaitu YBhg Prof. Madya Dr Harlina Halizah Hj Siraj, Pakar Perunding Obstetriks & Ginekologi Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) telah mengupas topik Peranan NGO Wanita Islam dalam meneladani Keperibadiaan Sayyidah Khadijah Al Kubro.


Majlis Perasmian Penangguhan Seminar Memperingati Ketokohan Sayyidah Khadijah r.a telah disempurnakan YB Datin Hajah Fatimah Abdullah, Menteri di Jabatan Ketua Menteri (sekarang Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Sarawak). Majlis ini turut dihadiri oleh Pengarah Biro Wanita Sarawak, YBhg Puan Norjanah Hj Razali. Majlis Perasmian Penangguhan ini juga turut diserikan dengan alunan qasidah dan maulid daripada Kumpulan Remaja yang terdiri daripada bekas-bekas peserta program di bawah Biro Perkhidmatan Pendidikan Majlis Islam Sarawak.


Saudara/Saudari juga boleh melayari weblog Saudari Nurr Azreen Bt Abdul Karim, salah seorang penggerak Seminar Memperingati Ketokohan Sayyidah Khadijah Al Kubro tentang catatan beliau mengenai seminar ini Tribute to Seminar Memperingati Ketokohan Sayyidah Khadijah Al Kubra

Wednesday, January 11, 2012

Oh Golden Churn!

Beberapa bulan yang lepas, kita dikejutkan dengan satu isu mengenai produk Golden Churn Cremery Butter di pasaran Sarawak yang dikesan mengandungi DNA Babi. Kecoh satu kampung apabila pihak Majlis Islam Sarawak mengeluarkan kenyataan medianya pada 28 Julai 2011 yang meminta orang Islam khususnya menghentikan penggunaan mentega tersebut.
Di kampung saya sahaja, usahawan kek lapis dan tradisional Sarawak telah kerugian belasan ribu ringgit kerana ada dikalangan mereka telah mula menyediakan ratusan acuan Kek Hati Pari misalannya untuk dijual kepada pelanggan mereka. Bayangkan apa yang harus dilakukan terhadap kek tersebut kerana

sudah pasti tidak ada pelanggan yang akan membelinya untuk sambutan Hari Raya. Begitu juga dengan beberapa buah kedai yang menjual bahan-bahan membuat biskut dan kuih juga mengakui kerugian ribuan ringgit kerana produk mentega ini telah menjadi bahan utama dalam menghasilkan kek yang sedap. Ada juga pelanggan yang mengembalikan semula mentega tersebut kepada peniaga tetapi peniaga hanya memberikan opsyen kepada pelanggan menukar barangan lain yang ada di dalam kedai bukan mengembalikan wang mereka.

Walaubagaimanapun, ada lagi kesan yang lebih penting selain kerugiaan yang di alami oleh usahawan iaitu kesan pemakanan yang tidak halal. Ianya bukan sahaja memberikan kesan kepada jasad tetapi juga pembentukan seorang insan.

Firman Allah SWT di dalam Surah Al Maidah ayat 88 yang bermaksud;

“Dan makanlah dari rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu, Iaitu yang halal lagi baik, dan bertaqwalah kepada Allah yang kepadanya sahaja kamu beriman” (Al Maidah : 88)

Di dalam Surah Al Baqarah ayat 168, Allah SWT berfirman yang bermaksud;

“Wahai sekalian manusia! makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan; kerana Sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu” (Al Baqarah : 168)

Dari Abu Abdullah Al-Nu’man bin Basyir radiyallahu ‘anhuman katanya: Aku mendengar Rasulullah sallahu ‘alayhi wasallam bersabda: “Sesungguhnya yang halal itu nyata (terang) dan yang haram itu pun nyata (terang) dan di antara keduanya ada perkara-perkara yang kesamarahan, yang tidak diketahuinya oleh kebanyakan manusia. Maka barang siapa memelihara dirinya dari segala kesamaran, sesungguhnya ia memelihara bagi agamanya dan kehormatannya. Dan barang siapa jatuh ke dalam perkara kesamaran, jatuhlah ia ke dalam yang haram seperti seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, hampir sangat (ternaknya) maka di dalamnya. Ketahuilah! Bahawa bagi tiap-tiap raja ada kawasan larangan. Ketahuilah! Bahawa larangan Allah ialah segala yang haramnya, Ketahuilah! Bahawa di dalam badan ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah badan seluruhnya dan apabila ia rosak, rosaklah sekeliannya. Ketahuilah! itulah yang dikatakan hati.”

(Hadis Riwayat Bukhāri dan Muslim)

Tuesday, June 21, 2011

Lau Kana Bainana Habib



Lau Kana Bainana Habib

لو كان بيننا الحبيب


If the beloved (s.a.w.) were among us
Those from far & near will come to him (s.a.w.)
Hoping to see the sun of goodness before it sets
Desiring to be near to Him (s.a.w.)

In this company the soul feels great
On that moment If it prays to Allah, Allah will surely answer
The light of Taha (s.a.w.) will not cease to exist

Oh Ya who answers prayer please fulfill our hope to meet him (s.a.w.)
I am willing to sacrifice my life for you
Oh beloved (s.a.w.)
Muhammad s.a.w. honor of strangers
In your company the soul feels great
Oh mercy to all the worlds (s.a.w)

Wednesday, May 18, 2011

MAKLUMAN : Pertukaran tempat Program Persediaan ke IPT 2011

Assalamualaikum Warahmatullah Wabrakatuh
Kepada bakal peserta Program Persediaan ke IPT, adalah dimaklumkan bahawa pertukaran tempat program dari UiTM Kota Samarahan ke Yayasan Sarawak, Jalan Sultan Tengah Semariang. Sekiranya memerlukan panduan perjalanan, boleh menghubungi saya di talian 019 8212606. Mohon maaf atas segala kesulitan.

Wednesday, May 11, 2011

Program Persediaan Ke IPTA 2011


Khas buat remaja/belia Islam di Negeri Sarawak dan merupakan lepasan SPM,STPM,STAM 2011, lepasan Matrikulasi, Asasi Sains, Pra Diploma dan bakal ke IPT, IPTS, Kolej dan sebagainya, rebutlah ruang dan peluang untuk menimba sebanyak mana ilmu serta memantapkan kerohaniaan sebelum melangkah ke alam dan dunia baru pendidikan. Sekiranya anda berminat atau anda berhajat untuk menghantar anda ke program ini, boleh menghubungi saya di talian 019 8212606.

Insya Allah, YBhg Dr Mohd Farid Bin Mohd Shahran, Timbalan Dekan Fakulti Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) akan mengisi slot penting seperti berikut:

Sabtu, 21 Mei 2011
0830-1000 : Ilmu dan Pembudayaannya
1030 - 1200 : Cabaran Pemikiran Umat Islam Hari ini

Justeru, kepada pembaca [yang bukan dikalangan bakal peserta] dijemput untuk menghadiri sesi bermanfaat ini.